Kemudahan Pendidikan Di Malaysia Adalah Yang Terbaik
KUALA PENYU: Generasi muda negara ini merasa lebih beruntung kerana mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding pelajar di lain-lain negara yang sedang membangun.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin berkata daripada segi kualiti pendidikan, Malaysia di tangga ke-14 keseluruhan dan di tempat kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asean.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan kita. Sudah pasti kejayaan ini adalah hasil usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dan rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kualiti modal insan dan daya saing negara,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Persekolahan Pelajar di SK Temporong dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Jupry Etok; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, Haji Mohd.Fadzlee Abdullah; Guru Besar SK Temporong, Mail Tahir dan Pengerusi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Temporong, Awang Bungsu Haji Dullah.
Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan meletakkan kepentingan pendidikan sebagai keutamaan dalam usahanya menjana modal insan cemerlang bagi mengisi keperluan pembangunan negara untuk menjadi sebuah negara maju.
Tambahnya, kerajaan bukan sahaja meningkatkan kemudahan prasarana sekolah dengan membina sekolah sekolah baru termasuk mengantikan sekolah usang, namun turut menyalurkan bantuan berupa biasiswa, bantuan tuisyen, bantuan buku teks termasuk penghapusan yuran sekolah dimana semua ini dilakukan oleh kerajaan demi untuk memperkasakan kualiti dan pencapaian mutu pendidikan negara.
“Hari ini kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan bantuan kepada golongan pelajar sehingga sudah tidak alasan bagi ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana faktor kemiskinan,” katanya.
Mengulas isu PTPTN, Lazim berkata ianya hanya gimik politik parti pembangkang sahaja, sedangkan PTPTN telah membantu ramai rakyat Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTAS.
“Tanpa bantuan PTPTN ramai golongan pelajar terutamanya golongan yang berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi,” katanya
Lajim berkata dari apa kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi menjana sektor pendidikan negara ketika ini mencerminkan kerajaan juga turut memberikan pendidikan percuma kepada pelajar dari peringkat sekolah rendah dan menangah.
Sehubungan dengan itu, Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort mengajak ibu bapa agar terus memberikan kerjasama serta sokongan kepada pihak sekolah dan guru-guru bagi memperkasakan tahap pencapaian akademik anak-anak mereka.
“Tanggunjawab untuk menjadikan anak-anak kita cemerlang dalam pendidikan seharusnya tidak disandarkan kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja, sebagai ibu bapa kita perlu terus memberikan galakan dan nasihat agar anak-anak kita terus tekun belajar,” katanya.
Menurutnya, hanya melalui pendidikan yang berkualiti dan tahap pencapaian yang cemerlang pendidikan anak-anak mampu merubah masa depan pelajar berkenaan, keluarga masyarakat dan negara.
0 comments:
Post a Comment